Tahukah anda, makanan dan minuman yang kita ambil setiap hari boleh membawa kerosakan pada gigi? Dalam artikel ini, kami akan kongsikan lapan makanan dan minuman yang boleh mengotorkan gigi. Jika anda sayangkan gigi anda, teruskan membaca sampai habis!

Lapan makanan dan minuman yang boleh mengotorkan gigi anda

1. Beri

Salah satu makanan yang boleh mengotorkan gigi adalah buah beri. Meskipun ia mengandungi khasiat yang tinggi, pigmen berwarna dari buah beri boleh melekat pada enamel gigi. Ini sekali gus akan meninggalkan kesan atau stain pada gigi.

Sekiranya anda meminum jus buah beri, gunakan straw bagi menghalangnya daripada berhubung secara langsung dengan gigi anda. Dengan ini, stain dapat dikurangkan.

Jika anda memakan buah beri pula, pastikan anda berkumur dan minum air kosong untuk mengelakkan stain pada gigi.

2. Kopi

Siapa di sini peminat kopi? Hati-hati kerana kopi adalah salah satu minuman yang boleh mengotorkan gigi. Pengambilan kopi dalam kuantiti yang banyak dan kerap akan membuatkan gigi berubah warna menjadi kuning kerana minuman ini meninggalkan stain pada gigi.

Apa yang anda boleh lakukan untuk mengelakkan stain melekat pada gigi adalah dengan minum menggunakan straw dan berkumur serta memberus gigi selepas selesai minum.

3. Teh

Sama seperti kopi, teh juga boleh meninggalkan stain pada gigi. Selain menggunakan straw, anda juga boleh minum air kosong sebaik sahaja selesai meminum teh. Ia bertindak untuk ‘membilas’ stain teh tadi pada gigi.

4. Jeruk

Pasti ada di antara pembaca di sini yang suka makan jeruk. Meskipun ia sedap dimakan, jeruk sebenarnya boleh merosakkan gigi anda.

Pengambilan jeruk boleh memberi kesan kepada enamel gigi anda berikutan asid yang terkandung di dalamnya. Enamel gigi anda akan terhakis dan ini sekali gus akan mendatangkan pelbagai masalah terhadap gigi anda.

Bunyinya mungkin agak keterlaluan tetapi jeruk dianggap sebagai musuh nombor satu doktor gigi kerana kandungan cuka serta bahan-bahan berasid lain yang tinggi di dalamnya.

Cuba untuk hadkan pengambilan jeruk dan pastikan anda sentiasa berkumur serta memberus gigi sebaik sahaja memakannya.

5. Sos tomato

Selain itu, satu lagi makanan yang boleh merosakkan gigi adalah sos tomato. Kenapa sos tomato?

Untuk pengetahuan anda, tomato sendiri mengandungi tahap asid yang tinggi. Dalam sos tomato pula, terdapat pewarna merah yang boleh meninggalkan stain pada gigi.

Untuk mengelakkan kotoran berlaku dan enamel gigi terhakis, pastikan anda mengambil sos tomato secara sederhana.

Anda juga boleh menikmatinya bersama dengan sayur-sayuran seperti brokoli dan bayam kerana ia akan bertindak sebagai ‘pelindung’ yang boleh membantu mengurangkan stain pada gigi.

6. Walnut

Meskipun kacang walnut kaya dengan vitamin E, pengambilan yang berlebihan khususnya walnut hitam akan meninggalkan stain pada gigi. Kelikatan walnut juga akan membuatkan banyak pigmen melekat pada permukaan gigi anda.

7. Biskut

Kebanyakan biskut di pasaran diperbuat daripada karbohidrat ditapis di mana ia akan berubah menjadi gula. Gula ini seterusnya menjadi sumber untuk bakteria yang sudah ada pada gigi anda untuk makan sendiri.

Akhir sekali, ia boleh berubah menjadi kaviti jika dibiarkan ‘tinggal’ terlalu lama pada gigi. Tak salah nak makan biskut tetapi pastikan anda minum air kosong sejurus selepas makan dan berkumur atau lebih lagi, berus gigi anda. Dengan ini, sisa biskut pada gigi boleh disingkirkan.

8. Ubi beet

Pigmen merah daripada ubi beet sangat kuat dan sudah tentu sekali akan meninggalkan stain bukan sahaja pada jari anda tetapi juga gigi.

Pastikan anda memberus gigi selepas memakan ubi beet untuk mengelakkan stain merah itu bertukar menjadi kesan hitam kekal pada gigi.

Selain memberus gigi, anda juga boleh berkumur sebaik sahaja selesai makan kerana ia akan membantu membersihkan pigmen daripada ubi beet tadi.

Kesimpulan

Tidak dinafikan, kehidupan terlalu singkat untuk mengelakkan semua makanan dan minuman yang kami senaraikan di atas. Apa yang anda boleh buat adalah dengan mengambilnya secara sederhana. Jangan lupa berkumur dan berus gigi selepas makan. Ingat, semakin lama kotoran tersebut ada pada gigi anda, maka semakin sukar untuk menghilangkannya.

Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua.

Masalah gigi? Datang ke My Dental Care.